Showing posts with label wakaf che yeh. Show all posts
Showing posts with label wakaf che yeh. Show all posts

Wednesday, January 03, 2018

Nasi Berlauk Wakaf Che Yeh

Orang kata, Wakaf Che Yeh sudah tidak seperti dulu. Harganya semakin mahal. Namun, ia tidak menghalang aku untuk dua malam berturut-turut ke Wakaf Che Yeh.

Aku pernah Wakaf Che Yeh beberapa tahun lalu. Kini, ia banyak berbeza. Dulu, ia lebih semacam pasar malam. Kini, ia kurang lebih seperti uptown.

Malam kedua di Wakaf Che Yeh, aku dan Pn. Nurul ke Kedai Buku SMO dulu. Beli dua buku karya Daniyal Kadir dan Irwan Dahnil.

Selepas itu, kami bercadang untuk ke pasar Wakaf Che Yeh. Keluar dari kedai buku, bau ayam goreng sangat menggamit. Kira-kira 20 meter dari kedai buku, ada gerai menjual nasi berlauk. Gerai itu terletak dicelah antara kedai kain Salem Aziz yang bersebelahan kedai buku, dan kedai cermin mata.

Kami melintasi gerai itu semasa menuju ke pasar Wakaf Che Yeh. Ada kurang lebih 10 orang beratur. Aku sempat menjeling ke gerai itu. Ayam goreng, hati goreng dan daging kunyit semacam melambai-lambai menyeru nama aku.

Aku berazam untuk beli sebungkus balik nanti.

Setelah mendengar latahan lucah seorang wanita, keramahan seorang peniaga tudung, dan kedegilan budak-budak basikal lajak, kami kembali ke gerai itu.

Kami beratur menunggu giliran sambil melihat kelincahan peniaga itu bungkus nasi.

Sampai giliran, kami minta nasi berlauk ayam goreng, sesunduk daging kunyit, 5 hiris timun, limpahan kuah gulai dan sambal belacan.

Harganya RM6.50 sahaja. Sangat murah jika dibandingkan dengan Damansara Dungun. Rasa nak menangis kesyukuran.

Dan nasi itu kami makan kongsi berdua. Inilah romantik cara kami.


Punyalah cekap penjual ini membungkus. Sambil pejam mata pun boleh bungkus.

Gerai ini buka setiap hari bermula 8 malam hingga lauk habis.

Hari Isnin dia tutup.


Ini nasinya. Macam cerita mee sebelum ini.

Boleh makan 3 orang seadanya. Makan 2 orang boleh kenyang. Makan seorang boleh kenyang membawa ke hari esok.


Monday, February 22, 2010

Buah Kundang Gemia

Masih lagi seputar suasana di Wakaf Che Yeh.

Terjumpa gerai menjual buah. Aku memanggil ia sebagai buah kundang, manakala Pn. Nurul memanggilnya sebagai buah gemia, manakala Cik Suzi berkata "Sama la kundang dengan gemia..."

Sebetulnya agak lama aku tidak berjumpa dengan buah kundang. Selama aku tidak lagi membantu Abah aku berniaga buah-buahan.

Sama seperti buah-buahan yang lain, aku juga tidak begitu teruja untuk memakan buah kundang. Tak tahu kenapa. Barangkali aku sudah muak makan buah-buahan setelah lebih 10 tahun berniaga buah-buahan.

Tekstur buah kundang sangat berserat. Rasanya manis lemak. Boleh diibaratkan seperti rasa mempelam susu. Menariknya, buah kundang boleh dimakan terus tanpa dikopek dikupas kulitnya.


Sayangnya buah ini agak sukar didapati. Jika adapun, harganya agak mahal. Paling murah aku pernah jual RM7; kira-kira tujuh lapan tahun lampau.

Sunday, February 21, 2010

Monyet Brazil

Jalan-jalan di Pasar Malam Wakaf Che Yeh, terjumpa sebuah kedai menjual haiwan peliharaan. Uniknya kedai itu, mereka memartabatkan tulisan jawi.

Lebih unik lagi, ada haiwan yang agak pelik dan sukar didapati seperti burung kenari dan monyet brazil.

Bertambah unik, monyet brazil itu harganya RM6500. Ternyata aku tidak mempunyai kegilaan untuk mengeluarkan RM6500 untuk monyet brazil itu.

Friday, February 19, 2010

Pasar Malam Wakaf Che Yeh

Kalau kau ke Kelantan, tempat ini merupakan antara tempat yang patut kau pergi. Lebih-lebih lagi jika kau gemar membeli-belah.


Sebenarnya aku ke Pasar Malam Wakaf Che Yeh tanpa dirancang. Dalam perjalan pulang ke Terengganu dari Rantau Panjang, kira-kira 30 minit sebelum tiba ke Jertih, aku di dorong oleh Pn. Nurul dan Cik Suzi supaya melencong ke Wakaf Che Yeh.

Harga barang-barang di sini mahal sedikit dari Rantau Panjang. Tetapi, ada terlalu banyak gerai dan pilihan di sini! Aku hanya mampu untuk menghampiri satu per empat dari gerai yang ada di sini dalam tempoh kurang lebih 2 jam. Ada bermacam-macam ada di jual di sini. Tetapi, pada pandangan aku barangan tekstil yang mendominasi. Juga, kalau inginkan tudung bawal yang murah dan berkualiti, di sinilah tempatnya!!!


Jika kau tanya bagaimana aku dapat mencari jalan ke sana, aku memang tidak dapat memberi penerangan dengan lanjut. Aku ke Pasar Malam Wakaf Che Yeh  ini hanya berpandukan Navigator GPS cap Garmin Nuvi 205, perbualan ringkas dengan Acik dan tawakal kepada yang Esa. Jika kau hanya ada tawakal kepada yang Esa, aku cadangkan juga kau merujuk kepada Google Maps.