Monday, February 11, 2019

Popia Cendawan

Kebanyakan orang mempunyai kegemaran masa lapang atau hobi.
Ada suka main dam sampai lupa anak bini, ada yang suka lepak mamak tengok bola dan ada juga yang suka mengumpul barang langka hingga tidak kisah bergolok gadai.
Begitu halnya dengan Pn. Nurul. Beliau ada juga hobi. Hobi beliau memasak dan mencuba resepi baru.
Aku kurang gemar hobi beliau ini. Sebabnya beliau akan masak banyak pada skala kenduri. Walhal, hanya aku dan beliau sahaja di rumah ini.
Lalu, aku akan jadi mangsa keadaan untuk menghabiskannya terutama jika resepi baru itu kurang menjadi. Ini juga menjadi sebab utama berat aku tidak turun seperti yang diimpikan.
——
Dua minggu sudah, kami mengelola hari keluarga sebelah Pn. Nurul. Antara menu cadangan adalah spegheti carbonara. Tapi, entah macam mana cadangan itu tidak terlaksana. Lalu, 2 tin sos carbonara Pregio masuk ke dapur kami.
Tiadalah kehairanan untuk ada sos carbonara di rumah kami. Aku jenis makan apa sahaja. Kalau batu boleh dimakan, aku makan.
——
Minggu lepas kami ke pasar Manir. Pn. Nurul beli sekilo cendawan tiram. Aku hairan. Aku tanya nak buat apa?
Beliau menjawab, “Nak buat popia cendawan pakai sos carbonara kat rumah tu. Abang bukannya makan carbonara, jadi Bi nak buat inti popia”.
Aku gumam. Entah bila entah aku tak makan carbonara. Namun, sebab sayang bini, aku ia kan sahaja penyataan itu.
——
Popia ini memang sedap. Ini bukan pujian sebab bini aku yang buat. Aku jujur dengan bini aku. Kalau dia masak tak sedap, aku cakap tak sedap dan komen. Tapi, tetap juga aku makan dan habiskan.
Aku tak ambil tahu sangat apa kandungan popia cendawan ini. Yang aku tahu, ada cendawan tiram dan soso carbonara. Intinya bersos, jadi, bila kau makan, akan rasa rangup di luar dan rasa lembap di dalam. Sempurna!
——
Pn. Nurul yakin popia cendawan beliau ini boleh dipasarkan. Cuma, beliau tidak tahu nak letak harga berapa.
Beliau tak nak terlalu murah sampai makan modal.
Pada masa yang sama, tak nak harga mahal macam nak pergi haji balik hari.
Ayuh warga maya sekelian! Berikan cadangan harga korang untuk popia cendawan ini!

Ini popia yang belum digoreng. Kalau dah goreng, jangan terus makan. Tunggu 10 minit. Kalau tak, melocot mulut kau. Haba pendam sos cendawan tu tinggi.

Perhatikan berus penyapu telur tu. Entah bila bini aku beli. Tetiba je wujud.

Ini intinya. Cendawan dengan sos carbonara.

Ini tengah nak gulung.

Ini cadangan pembungkusan. Satu bungkus ada 10 biji popia. Kalau kau, berapa yang kau sanggup bayar untuk satu bungkus ni?

No comments: