Raya Krismas baru ini, aku tergesa-gesa balik Johor. Tak tergesa sangat pun, seminggu sebelum balik aku rancang nak balik. Biasanya, sebulan sebelum balik aku dan rancang.
Punyalah tergesa sampai Pn. Nurul nak buat projek rahsia dengan kakak dia pun terbantut. Apa punya projek pun aku tak tahu. Memang betul-betul rahsia.
Dari Johor nak balik Dungun, banyak tempat kami menyinggah. Sempat singgah di Parit Raja untuk beli
kerepek. Lepas tu makan nasi campur ala Jawa di Jentayu, simpang Parit Sonto. Aduh! Punyalah sedap. Lama tak makan nasi campur ala Jawa ni. Fuh, sambil menulis ni rasa nak meleleh air liur aku.
Kemudian, singgah pula di Kuantan hantar anak saudara aku. Persinggahan tidak tamat di situ. Selepas sejam perjalanan, kami singgah pula di RnR Perasing di LPT2 untuk sembahyang dan minum petang.
Tapi, kalau kau bercadang untuk makan-makan di RnR Perasing, aku cadangkan kau lupakan hasrat kau itu. Kedai yang tutup lagi banyak dari kedai yang buka. Dari kedai yang sedikit itu, tiada kedai yang jual nasi atau makanan berat. Keropok, maggi dan pau antara makanan terberat yang kau boleh beli dan makan di situ.
Sejurus sebelum Maghrib, aku sampai Paka. Hujan renyai membuatkan perut lapar. Boleh sahaja aku tahan kelaparan dan makan di Dungun. Tapi, apalah erti pengembaraan jika balik mengambara makan di kampung sendiri. Lalu, kami memutuskan untuk mencari kedai makan di Paka.
Tak lama kami mencari terus jumpa Green Cafe. Tapi, tak mencari juga sebenarnya. Kiranya nampak kedai tu, terus berhenti. Dari luar kedai ni nampak eksklusif. Tanggapan kami, mesti kedai ini mahal. Walaupun kami memang bukan jenis yang banyak duit, kami masuk sahaja kedai itu. Sambil itu aku berdoa supaya kad kredit aku boleh digunakan kelak. Kah kah kah.
Green cafe ini aku perhati ada 4 ruang makannya. Bahagian luar, open air, sesuai untuk perokok. Kemudian ada bahagian luar berbumbung, sesuai untuk yang ingin menikmati angin pantai. Ketiga, ruang dalam bahagian bawah, ada penyaman udara. Keempat, ruang dalam bahagian atas. Entah apa ada kat atas tu aku tak tahu. Kau kena pergi sendiri.
Aku pilih ruang ketiga. Sesekali nak rasa juga makan dalam air-cond macam dalam drama tu.
Hiasan dalam dan luaran kedai memang menarik. Tema industri. Sesuai dengan degan Paka yang merupakan kawasan industri. Kemudian, aku syak pemilik dia peminat motor besar. Ada 2 biji motor besar vintage dalam kedai itu sebagai hiasan. Syak aku semakin bertambah bila ada quotes mengenai bikers dan aksesori motor dalam kedai itu.
Kedai ini ada jual makanan barat dan timur. Sebab kami orang Melayu bertekak barat (hohohoho), makanya kami memesan makanan berikut.
- Nasi putih- 2
- Ayam mentega saiz medium
- Sup ayam saiz medium
- Sayur campur seorang makan
- Air kosong - 2
Kami fikir saiz medium tu kecik sahaja. Bila sampai, terkejut kami! Saiz medium tu boleh makan 4-5 orang. Makan sampai tersandar pun tak habis lauknya. Sudahnya, kami bungkus untuk makan esok. Dan esoknya, kami makan sampai tersandar sekali lagi baki lauk itu. Memang betul-betul banyak.
Tak habis bukan sebab tak sedap. Sedap! Tapi sebab banyak. Rasanya masakan tidak keterlaluan. Just nice, sesedap rasa. Sup ayam dia tak macam kedai tomyam. Ayam butter dia pun agak pedas berempah rasanya, sesuai dengan tekak orang timur.
Mana nak cari kedai ini? Ini ha, aku bagi screenshot lokasinya dari Google Maps. Kau search
GREEN CAFE PAKA.
Ok, selamat mencari dan menjamu selera. :-)