Thursday, February 28, 2019

Tempat Makan Terbaik di Parit Raja: Asam Pedas Bonda

Tempoh hari, aku ke Parit Raja. Atas urusan Kerepek Rangup. Walaupun tak beli sangat kerepek, tapi kena tunjuk muka pada tokey kilang. Ini antara strategi peniaga-picisan-setahun-sekali-untung-seringgit macam aku.  Tapi, tak sempat nak jumpa ayahanda kawasan Parit Raja, Mohammad Kamil Abdullah.

Walaupun kecil-kecilan sahaja, perlu buat bersungguh-sungguh. Kita kalau hendak buat sesuatu, buatlah dengan bersungguh-sungguh. Nikmat dan kepuasannya lain macam kalau kau bersungguh-sungguh. Kerja biar bersungguh. Belajar biar bersungguh. Bermain biar berungguh. Makan biar bersungguh. Berak biar bersungguh.

Begitu juga dengan Asam Pedas Bonda Parit Raja. Fuh! Asam pedasnya memang dimasak dengan bersungguh-sungguh. Asam pedas di sini bukan biasyer biasyer  (sila baca dengan nada DS Najib). Ia dimasak bila pesanan dibuat. Bukan jenis masak banyak-banyak letak dalam tray ala buffet.

Lebih luar biasa, asam pedas ini dimasak dan di hidang di dalam periuk tanah liat (claypot). Bila pelayan hantar asam pedas, periuknya masih tertutup. Lepas letak atas meja, dia buka penutupnya. Semerbak bau! Menggoda!

Godaan tidak sampai di situ. Memandang ia dimasak dalam periuk tanah liat, haba tersimpan lebih lama. Kalau kau terus terkam, alamat melocot lidah kau. Silap-silap boleh hilang deria rasa seminggu. Kau kena tunggu sejuk kurang lebih lima minit, barulah boleh kau mencicip kuahnya. Baru boleh mencicip ya. Belum boleh menghirup, apatah lagi mencubit dan menikmati ikan. Lalu kau hanya terkebil-kebil melihat wap berkepul keluar dari asam pedas periuk tanah liat itu...

Kuahnya pekat. Sekali hirup melekat rasa pedas-masam. Terasa aroma lengkuas, bunga kantan dan daun kesom ditekak. Segar. Terasa lawas salur pernafasan aku bila menghirup kuah asam pedas yang bersuhu 50 darjah celcius yang cukup ramuannya.

Ikannya masak sempurna. Tidaklah separuh masak. Tidaklah juga terlalu masak. Sedang-sedang saja. Sebab ia di masak segar, terasa kemanisan ikan. Lebih sedap kerana kuah asam pedas masuk memasuki liang-liang daging ikan.

Ikannya memang besar puas hati. Macam-macam cara makan ikan asam pedas itu aku gayakan. Makan begitu sahaja. Makan sekali dengan hirup kuah. Makan dengan nasi. Makan dengan nasi, telur masin dan ulam. Tidak ketinggalan, makan dengan ulam.

Aduh! Nikmat!

Kedai ini hanya 100 meter dari Fisherman's Asam Pedas. Kalau kau dari Parit Raja menuju ke Kluang, kau akan jumpa kedai ini di sebelah kanan kau. 100 meter kemudian, kau akan jumpa pula Fisherman's Asam Pedas di sebelah kiri kau.

Ah, cerita banyak tak guna. Jom tengok video ni. Bagi kau ngencesssss......


Follow FB dan IG Asam Pedas Bonda Parit Raja.

Ternyatalah, bukan asam pedas Melaka kalah dengan asam pedas Parit Raja.

Friday, February 22, 2019

Ikea Tebrau

Setelah sekian lama Ikea Tebrau dibuka, pada raya cina yang lepas barulah aku berpeluang untuk singgah ke sana. Sekadar cuci mata. Menghabiskan masa berdua. Menikmati kehidupan seadanya. Tiadalah hasrat untuk membeli. Kerana tiada tunai di tangan juga tiada keperluan untuk membeli.

Ikea Tebrau adalah persinggahan ringkas setalah Pn. Nurul beriya-iya mengajak aku bersiar-siar di Johor. Negeri Johor maksud aku. (Sebab sebahagian orang Johor merujuk "Johor" sebagai Johor Bharu). Sebelumnya kami ke Plaza Angsana. Aku tak ingat bila kali terakhir aku ke Angsana. Mungkin 10 tahun lepas. Dan Angsana tidak banyak berubah. Ia menjadi pilihan ramai orang Melayu; termasuk orang Melayu Singapura.

Kami sampai ke Ikea Tebrau menjelang tengahari. Suasana agak lengang waktu itu. Kami masuk dan membayar parkir dengan kad touch n go. Tempat parkir juga luas. Memandangkan tidak ramai orang ketika itu, dapatlah kami parkir berhadapan pintu masuk lalu membiarkan beberapa kalori lemak tinggal di dalam tubuh kami. 

Seperti di Ikea Damansara, tempat masuk dan pameran barang di tingkat atas. Untuk sampai ke tingkat atas, ada dua pilihan. Sama ada menaiki tangga bergerak atau tangga statik. Aku pilih menaiki tangga statik. Bukan kerana nak bakar kalori sangat. Tapi aku rasa aku akan cepat sampai berbanding menaiki tangga bergerak. 

Rasaan aku itu benar.

Sampai tingkat atas, ada tempat makan. Ramai orang waktu itu. Mungkin sebab tengahari. Oleh sebab kami sudah kenyang makan sandwich di Angsana, tiadalah hasrat untuk makan di situ. Walaupun ramai yang cakap bebola daging Ikea sangat sedap padu, tapi aku tidak terliur. Jika diberi pilihan tempe atau bebola daging Ikea, aku pilih tempe, walau apa cara pun ia di masak. Juga, aku yakin bebola daging air tangan Pn. Nurul lebih sedap. Sedap kerana dibuat dengan kasih sayang. :p

Pundi kencing aku penuh. Perlu dikosongkan. Barulah sedap berjalan. Aku meluru ke tandas. Nyata jamban Ikea Tebrau berada dalam kelas tersendiri. Bukan mangkuk jambannya, tetapi pintunya. Pintunya di buka keluar. Jadi mudah untuk masuk.  Tidak seperti jamban lain di Malaysia. Pintunya ke dalam. Lagi haram jadah, pintunya tidak boleh dibuka penuh sebab tersangkut dengan mangkuk jamban. 

Itulah, jamban kita tidak dibina dengan jiwa. Dibina demi wang semata-mata. 

Lupakan kisah jamban. Kita kembali ke cerita Ikea Tebrau. 

Lalu, aku menemani Pn. Nurul mengelilingi Ikea Tebrau. Bahagian ni aku malas nak taip. Aku letak video. 



Dia punya ralit pusing, sampai tak hirau aku. Kaki aku rasa lenguh macam nak tercabut. Tapi, Pn. Nurul tetap tenang dah gagah. Aku hairan. Sebab biasanya kalau ajak jalan kaki 50 meter pun dia dah merungut.

Walaupun sekadar cuci mata, tersambar juga barang separuh penuh beg kuning. Kagum betul kami masa bayar. Duitnya disedut masuk. Bakinya dihembus keluar. Mesti kau hairankan? Ayuh, musnahkan kehairanan kau dengan membeli di Ikea Tebrau!

Oh ya, masa bayar tu juga, sebenarnya kami boleh dapat pengecualian bayaran parkir. Tapi sebab kad touch and go ada dalam kereta, kami abaikan pengecualian itu. Kena bayar RM3. Jadi, aku nasihatkan kalau kau bayar parkir Ikea Tebrau pakai touch and go, bawa sekali kadnya. Kalau kau membeli, dapat pengecualian bayaran parkir. 

Ayuh ke Ikea Tebrau!

Tuesday, February 19, 2019

Kedai Makan Terbaik di Dungun: Warung Wook Bo'Ki Batu 50 Dungun

Ada hikmahnya kantin tempat kerja aku ditutup sementara. Jadi, ada peluang untuk aku jelajah kedai-kedai makan di luar sana.

Aku suka pergi kedai yang tak ramai orang dan dekat dengan tempat kerja aku. Aku bukan jenis yang sanggup memandu 20km lebih sehala hanya untuk makan tengahari.

Ada satu kedai di Batu 50, Dungun. Ia betul-betul bersebelahan dengan Kedai Tayar Azhar (Waze kedai ni). Warong Wook Bo’Ki. Kedai ini sederhana, nampak biasa-biasa sahaja dari luar. Tapi, masakannya sedap. Macam mak mak yang masak. Lauknya banyak pilihan, tapi tiap satunya dimasak dalam kuantiti sedikit.

Aku dan Pn. Nurul dah dua hari berturut-turut pergi ke kedai ni. Esok mungkin kali ketiga. Berikut beberapa menunya yang kami dah rasa.

Gulai ayam kampung.
Semalam rasanya agak masin. Tapi hari ini masinnya ngam. Ayam dibelah empat. Tapi, ayam kecil je la. Namun, kalau sorang makan, cukup puas! Harganya RM5 sahaja.

Ayam percik.
Ini ayam bandar. Belah empat juga. Ayam dibakar dahulu. Bila nak nak dihidang baru kuahnya disiram.
Makan dua orang memang kenyang sangat. Hanya RM6.50. Ayam ternak sendiri agaknya.

Patin tempoyak.
Aku tak suka makan patin tempoyak yang ikannya macam tiga suku masak dan kuahnya menenggelamkan ikan. Patin tempoyak kedai ni masak sempurna dan kuahnya macam disiram sahaja.
Kuahnya pekat. Harga RM5 juga.

Menu lain aku akan cuba lain kali. Ada sup tulang, kerutuk kambing dan ayam goreng rangup. Ada juga ikan selayang besar dua jari aku, yang bakar. Hanya 80 sen seekor. Ya tuan puan, hanya 80 sen. Nasi dikira RM1 sepinggan. Tapi, aku ambil nasi sikit je. Kalau kau ambil nasi seperiuk, mungkin harga lain.

Harga yang aku bagitau di atas mungkin akan berubah. Manalah tau kau pergi, sekali tu ikan selayang jadi RM1, jangan pula kau tularkan kata aku penipu.

Ok, kau boleh serbu kedai ni. Tapi minggu depan la. Minggu ni aku nak makan puas-puas kat kedai ni.






Monday, February 18, 2019

Edit Video dengan Vue Vlog App

Aku mula belajar buat video pada tahun 2009 kalau tak silap aku. Pada masa tersebut, telefon bimbit tidaklah secanggih sekarang. Telefon berkamera secara puratanya mampu menyokong saiz sebanyak 360p sahaja. Macam video 3gp.

Aku tak ingat video apa yang pertama kali aku buat. Tapi, bila tengok balik video-video yang aku buat pada awal-awal aku belajar video, rasa nak muntah. Kah kah kah. Shot berterabur, kamera bergegar, jalan cerita tiada, edit tak tajam. Pendek kata macam gam**g. Tapi, itulah, bila kita nak buat, buat sahaja. Tak perlu sempurna. Bila kau buat, baru kau tahu bahagian mana yang kau perlu sempurnakan.

Masa aku baru berkecimpung, aku shot video pakai viemcam yang guna mini dv. Mini dv ni macam kaset, tapi saiznya kecil. Sudah shooting, kau perlu convert video dalam mini dv ke bentuk digital untuk diedit. Ini azab. Kalau video kau 30 minit, kau perlu tunggu 30 minit juga untuk convert. Itu azab pertama. Azab kedua, mini dv tu boleh rekod maksimum 65-70 minit sahaja. Azab ketiga. Harga satu mini dv boleh cecah harga RM40. Jadi biasanya aku guna balik mini dv yang sudah di convert. Kena guna teknik blank capture. Ini pun ambil masa 65-70 minit.

Azab sengsara itu tidak berkesudahan di situ. Video perlu melalui proses editing. Editing tidaklah berapa azab. Yang azabnya, masa nak render. Video 5 minit boleh makan masa satu hari untuk render.

Masa berganti. Tahun berganti. Cara untuk shot dan edit video semakin mudah. Kebanyakan telefon bimbit sekarang boleh mengambil video dengan kualiti HD. Juga, banyak app untuk edit video di Playstore atau Apple Store. Proses editing dahulu, untuk video 5 minit boleh makan masa sehari suntuk, kini, dalam masa setengah jam boleh siap.

Kini aku selesa menggunakan App Vue. Ini beberapa kelebihan Vue.

1. Boleh rotate video. Kebanyakan app tak boleh.
2. Boleh trim video 1 dan 2.5 saat. Senang. Just pilih dan slide sahaja.
3. Boleh shot dalam app. Ini pun senang juga. Shot sambil edit.
4. Filter (color grading) mudah dan banyak pilihan. Nak setting sendiri pun boleh.
5. Render cepat. Video 5 minit,  5 minit render.



Namun ada beberapa kekurangan Vue.

1. Saiz video kecil. 720p sahaja. Ini kekurangan yang membuatkan aku sedikit ralat dengan Vue.
2. Vue versi android banyak bugs. Geram betul.

Ini contoh video yang aku edit sepenuhnya dengan Vue.



Sunday, February 17, 2019

Resepi Sotong Gorong Kunyit Paling Senang

Malas taip intro. Kau pun mesti tak sabar nak masak kan?


Bahan:

1. Sotong 250g

2. Serbuk kunyit 1 sudu kecil

3. Serbuk lada hitam 1 sudu kecil

4. Bawang putih 3 ulas

5. Halia 2cm (besar ibu jari akak kau)

6. Minyak masak 3 sudu besar.

Nota: Tak letak garam sebab aku ada darah tinggi.


Caranya:

1. Potong sotong macam super ring.

2. Letak bawang putih, halia, serbuk kunyit dan serbuk lada hitam.

3. Gaul sebati.

4. Perap sesuka hati.

5. Panaskan minyak sawit.

6. Masuk sotong.

7. Nampak sotong dah kenyal, ha, masak dah tu.

8. Sotong ni berair sikit bila digoreng.

9. Angkat sotong, airnya dibiarkan kering sikit.

10. Dah kering, airnya tu masuk dan gaul balik dalam sotong.

11. Siap!

12. Panggil laki kau makan.

Malas membaca? Ini ha, ada videonya.



Saturday, February 16, 2019

Tempat Makan Terbaik di Parit Raja: Fisherman’s Asam Pedas

Masa belajar di Parit Raja 18 tahun dahulu, kompleks niaga Parit Raja menjadi tumpuan budak marhaen macam aku menikmati makan tengahari.

Antara menu yang sedap di situ adalah asam pedas.

Oleh itu, apabila sekali sekala ke Parit Raja atas urusan Kerepek Rangup, aku akan mengenang alma mater aku di kompleks niaga Parit Raja. Menikmati kembali zat yang membesarkan aku sebagai johan.

Masa berlalu, pemilik-pemilik asal kedai sudah tiada dan perniagaan mereka diwarasi. Sejak itu kualiti dan kesedapan makanan di beberapa kedai di kompleks niaga itu semakin berkurangan. Bahasa mudah, dah tak sedap. Terutamanya asam pedas.

Ya, seantero dunia sedar bahawa asam pedas Melaka adalah yang terbaik. Namun, pada aku asam pedas Johor ada rasa tersendiri.

Lalu misi tergempar mencari asam pedas bermula. Usai bertemuramah dengan anak Wak Asmon, tauke kilang kerepek, aku bertanya beliau mana kedai asam pedas Johor yang paling sedap di Parit Raja.

Beliau mencadangkan beberapa kedai. Kedai pertama aku pergi adalah Fisherman’s Asam Pedas. Terletak di simpang masuk Pt Haji Ali Laut.

Kedai lain aku akan pergi dan review kemudian, Insya Allah.

Ini ha kedainya. Tiada papan tanda, ada gegantung sahaja.

Namun begitu, kedai ni ada dalam Google Maps, Facebook dan Instagram. 

Kau search Fishermans Asam Pedas

Asam pedas tau, bukan ubat batuk.

Kedai ni betul-betul terletak di simpang parit ini. Lebih kurang 2-3 km dari bandaraya Parit Raja.

Ini kaunter untuk order makanan. Hipster gituw.

Ini senarai menu. Telus. Cuma ikan harganya berubah.

Telur masin. Oren warnanya. Tapi bukan Amanah.

Telur dadar. Tak lawa pula gambar aku kali ni.

Kailan ikan masin. Naik darah aku!

Ini dia menu utama. Asam pedas. Entah ikan apa aku lupa. Ikan mayong agaknya. Besar tapak tangan aku ni.

Ikan dimasak segar. Kau order baru dimasak. Bukan main masak banyak-banyak dalam periuk besar.

Makan 2 orang dengan air dan lauk-lauk di atas dalam belas-belas ringgit sahaja. Sesuai sangat dengan bajet pensyarah gred rendah macam aku.

Friday, February 15, 2019

Resepi Ubi Getuk

Selain ubi goreng kunyit, pada aku, ubi sedap juga dibuat getuk.

Nah, ini resepinya.

1. Siang ubi kayu. Potong kecil dan rebus sampai empuk.

2. Masa panas-panas tu, kau lenyek ubi tadi sampai lunyai. Pakai bontot cawan.

3. Masuk kelapa parut, ikut suka kau. Kalau aku suka satu bahagian ubi dengan satu bahagian kelapa.

4. Masuk gula pasir dan garam ikut suka kau. Aku suruh bini aku letak sikit je, bagi ada rasa sikit.

5. Lepas tu gaul sebati. Dah sebati, kau masuk dalam loyang, mampatkan macam buat nasi himpit. Bila dah sejuk boleh potong kiub dan cicah dengan sambal tumis.

6. Ataupun kau boleh bentuk bulat-bulat dan celup tepung lalu goreng tenggelam minyak. Tepung dan cara masak macam kau goreng pisang. Yang ni sedap dicicah sambal kicap.

Di Terengganu, aku tak jumpa lagi kedai jual getuk. Mujur Pn. Nurul dah pandai buat sekarang. Untung aku dapat bini pandai masak.


Ubi getuk sedap dicicah sambal kicap!


Thursday, February 14, 2019

Ulas Buku: Alegori Rumah Api

Ini buku kedua Matluthfi yang aku baca selepas buku Momen-Momen Matluthfi.
Aku mula menjadi penggemar pemikiran beliau bila aku terdedah kepada vlog beliau di Youtube kurang lebih 6 7 8 tahun lepas.
Buku Momen Momen aku rasa biasa sahaja. Sekadar kompilasi tulisan beliau di Facebook. Juga, hampir sama dengan buku-buku tulisan kompilasi dari penulis-penulis Melayu baru.
Hinggakan aku tak rasa nak beli tulisan beliau seterusnya sebab aku seolah dapat menjangkakan isinya.
Entah bagaimama Tuhan gerakkan hati aku untuk beli buku ini. Mulanya, lama ia terperuk tidak langsung dibuka.
Entah bagaimana juga, Tuhan gerakkan hati aku untuk baca buku ini. Kawan, ini buku yang WOW. Penuh kiasan, dan mencabar kepala otak aku untuk memahami.
Ada beberapa bahagian, Matluthfi berfalsafah. Ada sesetengah bahagian, bacaan santai ringan.
Ia semacam menu nasi campur. Ada gulai daging, ayam goreng, sayur kobis dan sambal belacan. Lawan pula dengan teh o ais limau. Fuh!
Kalau kau minat buku tulisan kompilasi yang bukan mainstream, inilah dia!
——
Copy paste dari Bacalah


Wednesday, February 13, 2019

Pelbagai Resepi Ubi Kayu

18 tahun lepas, masa aku aktif ikut bapak aku buat kebun dan jual buah, tak pandang sangat aku dengan ubi kayu.
Ialahlah, harga kebun baru 50sen sekilo. Kalau jual runcit, paling mahal pun RM1.
Lalu, dibiarkan sahaja babi yang makan ubi-ubi itu.
Tempoh hari, aku ke pasar Manir. Pasar ini wajib Pn.Nurul ajak aku pergi setiap kali balik Kuala Terengganu.
Kami beli 3 batang ubi kayu besar lengan budak 10 tahun. RM6. Harga sekilo RM4.
Aku macam tak percaya sebatang tu RM2. Aku syak timbang peniaga tu rosak.
Balik rumah, bila siang ubi tu, sebahagiaannya dan jadi kayu. Kayu betul lah!
Tak puas makan ubi kayu hari tu.
——
Mujur aku ada tanam ubi tepi rumah. Rabu lepas, balik kerja terus aku cabut ubi. Layan bini.


Muka nampak gembira. Dalam hati siapa yang tahu.

Ini hasil 2 pokok. Kalau tanam 20 pokok, aku dah boleh meniaga ubi agaknya.

Terus bini aku masak 3 macam ubinya.

PERTAMA: UBI REBUS

1. Siang kulit ubi. 

2. Potong kecil.

3. Basuh bersih.

4. Rebus air tenggelam sampai empuk. Boleh letak garam atau gula ikut suka kau.

Kau cucuk dengan garpu kalau nak tahu dia empuk atau tak. Kalau kau cucuk, garpunya terus meluncur masuk, maknanya dah empuk la tu.

Kalau kau dah rebus sejam tapi garpunya tak meluncur masuk, maknanya ubi kau kayu. Kau buang je la.


KEDUA: UBISIRA GULA MELAKA

1. Siang kulit ubi. 

2. Potong kecil.

3. Basuh bersih.

4. Rebus air tenggelam sampai empuk. Dah empuk, buang air rebusan. Tinggalkan sikit. Lepas tu masuk gula nisan atau gula melaka. Jangan masuk batu nisan.



KETIGA: UBI GORENG KARI

1. Siang kulit ubi.

2. Potong kecil, lagi kecil dari dua resepi sebelumnya

3. Basuh bersih.

4. Toskan air basuhan.

5. Gaul dengan serbuk kari. Boleh juga tambah kunyit dan garam ikut selera kau.

6. Panaskan minyak untuk masak tenggelam. Masuk ubi bila minyak betul-betul panas.

7. Bila dah masuk ubi, setkan api sederhana. Lepas tu tutup kuali.

8. Kau tengok dah kekuningan ubinya, angkat.

9. Fuh, ini langka! Tak jumpa di kedai.


Kena lawan dengan sambal kicap. Ini resepinya.

1. Tumbuk cili. Takut pedas, pakai lada. Masuk sekali bawang putih seulas dua.

2. Masuk kicap lemak manis.

3. Cicah ubi tadi di dalamnya. Fuh!

Tuesday, February 12, 2019

Tempat Makan Terbaik di Dungun: Popia Sayur Gemuk

Selain dari karipap inti angin dan sandwich inti hujung, popia inti 3 helai tauge turut berleluasa di pasaran.
Walaupun kadang-kala aku dah tahu keadaan kuih-kuih tersebut, namun aku tetap membelinya. Mungkin sebab kena bomoh atau memang dah teringin nak makan.
Ialah, nak makan seketul dua sahaja, jadi tidak ekonomik untuk membuat sendiri.
——
Berkenanan post aku sebelum ini, ada juga yang berkeinginan untuk beli popia cendawan yang Pn. Nurul buat.
Tapi, beliau masih teragak-agak untuk menjualnya. Kau tunggu dulu.
Dalam post itu, Pengerusi Anak Johor Perantauan cawangan Dungun, En. Azwan Nawawi mencadangkan aku mencuba popia sayur di Gong Pasir.
Tanpa membuang masa, terus aku mencubanya.



——
Fuh, ini adalah penanda aras popia terbaik di Dungun. Tahap JDT dalam bolasepak Malaysia.
Kulitnya rangup. Bila dah sejuk tetap rangup. Aku syak kulit popia ini dibuat sendiri.
Isinya mewah, walupun cuma sekadar kobis dan lobak merah. Gemuk popianya. Boleh tiga kali gigit. Kalau popia biasa-biasa sekali gigit je.
Selain popia, kedai ini menjual juga keropok, ayam leper, pisang goreng, pau dan kuih muih lain. Pau dia nampak sedap. Lain kali aku beli.
Tapi, bila aku tanya Pn. Nurul sedap atau tak, beliau jawab “Sedap. Tapi kalau Bi buat sedap lagi”.
Hmmmm. Aku dah terbayang kena paksa makan popia seminggu.



Ini dia. Gemuk bukan? Tapi bukan gemuk angin ni.

Ini gemuk isi.

Banyak la juga sayurnya dari popia yang biasa-biasa.

Longgokan popia = Longgokan kalori..Namun, terbeli juga 10 biji. Aduh!

Ini kedainya. Sederhana sahaja. Tapi nampak bersih.

Monday, February 11, 2019

Popia Cendawan

Kebanyakan orang mempunyai kegemaran masa lapang atau hobi.
Ada suka main dam sampai lupa anak bini, ada yang suka lepak mamak tengok bola dan ada juga yang suka mengumpul barang langka hingga tidak kisah bergolok gadai.
Begitu halnya dengan Pn. Nurul. Beliau ada juga hobi. Hobi beliau memasak dan mencuba resepi baru.
Aku kurang gemar hobi beliau ini. Sebabnya beliau akan masak banyak pada skala kenduri. Walhal, hanya aku dan beliau sahaja di rumah ini.
Lalu, aku akan jadi mangsa keadaan untuk menghabiskannya terutama jika resepi baru itu kurang menjadi. Ini juga menjadi sebab utama berat aku tidak turun seperti yang diimpikan.
——
Dua minggu sudah, kami mengelola hari keluarga sebelah Pn. Nurul. Antara menu cadangan adalah spegheti carbonara. Tapi, entah macam mana cadangan itu tidak terlaksana. Lalu, 2 tin sos carbonara Pregio masuk ke dapur kami.
Tiadalah kehairanan untuk ada sos carbonara di rumah kami. Aku jenis makan apa sahaja. Kalau batu boleh dimakan, aku makan.
——
Minggu lepas kami ke pasar Manir. Pn. Nurul beli sekilo cendawan tiram. Aku hairan. Aku tanya nak buat apa?
Beliau menjawab, “Nak buat popia cendawan pakai sos carbonara kat rumah tu. Abang bukannya makan carbonara, jadi Bi nak buat inti popia”.
Aku gumam. Entah bila entah aku tak makan carbonara. Namun, sebab sayang bini, aku ia kan sahaja penyataan itu.
——
Popia ini memang sedap. Ini bukan pujian sebab bini aku yang buat. Aku jujur dengan bini aku. Kalau dia masak tak sedap, aku cakap tak sedap dan komen. Tapi, tetap juga aku makan dan habiskan.
Aku tak ambil tahu sangat apa kandungan popia cendawan ini. Yang aku tahu, ada cendawan tiram dan soso carbonara. Intinya bersos, jadi, bila kau makan, akan rasa rangup di luar dan rasa lembap di dalam. Sempurna!
——
Pn. Nurul yakin popia cendawan beliau ini boleh dipasarkan. Cuma, beliau tidak tahu nak letak harga berapa.
Beliau tak nak terlalu murah sampai makan modal.
Pada masa yang sama, tak nak harga mahal macam nak pergi haji balik hari.
Ayuh warga maya sekelian! Berikan cadangan harga korang untuk popia cendawan ini!

Ini popia yang belum digoreng. Kalau dah goreng, jangan terus makan. Tunggu 10 minit. Kalau tak, melocot mulut kau. Haba pendam sos cendawan tu tinggi.

Perhatikan berus penyapu telur tu. Entah bila bini aku beli. Tetiba je wujud.

Ini intinya. Cendawan dengan sos carbonara.

Ini tengah nak gulung.

Ini cadangan pembungkusan. Satu bungkus ada 10 biji popia. Kalau kau, berapa yang kau sanggup bayar untuk satu bungkus ni?

Sunday, February 10, 2019

Arena Warna Air Hitam

Dulu-dulu, sebelum adanya JPO dan Legoland; malah sebelum adanya Angsana, bila sebut Johor, maka Air Hitam pasti meniti di bibir mak mak.
Ialah nak deko rumah. Beli pasu. Beli bunga mati. Sambil tu boleh sambar kerepek dua tiga kilo.
Entahlah apa yang seronok Air Hitam di mata mak mak. Panas, bising dan sesak terutama hujung minggu cuti sekolah.
Sindrom mak mak turut menyerang Pn Nurul. Masa baru kahwin dulu, tempat pertama yang diajak aku berjalan adalah Air Hitam.
Terjebak juga beli pasu sebentuk dua, bunga mati dan tirai.
Penjual di sini ramah. Baik Melayu, Cina mahupun Pakistan. Mereka biasanya tenang sahaja kalau kau tawar harga kilang tapi tak jadi beli. Kalau di Jalan Petaling, belum tentu kau boleh balik.
Seiring dengan zaman, Air Hitam berubah. Bangunan kayu yang panas dan bising di tepi jalan telah di runtuhkan.
Satu kompleks beli-belah Air Hitam telah dibina. Keadaannya lebih tersusun. Ceria. Berwarna-warni. Suasananya mengingatkan aku dengan Padang Besar, Perlis.
Keramahan peniaga masih sama seperti dulu. Di sekitar kompleks, terdapat mural menarik. Tempat letak kereta banyak disekiling kompleks ini.
Cuma yang tak best, sampah bertaburan di sekeliling kompleks. Juga, sesetengah peniaga menjadikan ruang legar tempat melapak.
Tapi, itu tidaklah menjadi hal kalau semangat kau membara membeli-belah di Arena Warna!

Entah kenapa ada kanopi dekat singboard ni. Aduyai.

Ayuh mak-mak! Serbu! Aktifkan kuasa penawaran tahap kilang!

Tersusun kedainya. Bersih.

Mural ini menggambarkan Air Hitam yang lama.

Ruang legar di sebelah kanan gambar menjadi pilihan peniaga melapak.

Mural.

Ayer Hitam

Lagi mural.

Saturday, February 09, 2019

Apa yang membuatkan video sedap ditonton?



Ya Tuan Puan. Kalau kau bikin video, penonton tak nak tahu masalah kau.
Mereka tak peduli kau tak tidur malam atau hard disc kau terbakar atau kau gila isim masa buat video.
Apa yang mereka nak, video kau sedap ditonton.
Mereka juga tak peduli apa kamera yang kau pakai, apa software yang kau guna atau apa teknologi yang kau aplikasikan.
Apa yang mereka nak, video kau sedap ditonton.
Mereka juga tak peduli kalau kau guna augumented reality dalam video kau hingga motosikal atas masjid, burung twitter berguling ataupun efek hati retak seribu.
Apa yang mereka nak video kau sedap ditonton.
Apa yang menyebabkan video sedap ditonton?
- Jalan cerita.


Friday, February 08, 2019

Pencipta Pam Jamban - Sir John Harington

Mujur lelaki ini mencipta pam tandas.

Walau ada pam tandas, ada juga yang celaka berak tak pam.

Elok kalau dapat orang yang tak pam lepas berak tu, sumbat kepala dia dalam mangkuk jamban. Biar dia rasa erti penyesalan.