Showing posts with label setiu. Show all posts
Showing posts with label setiu. Show all posts

Saturday, November 17, 2012

Bersih Mengikut Syariat

Dalam memori aku, sewaktu kecil dahulu, menjelang hari raya, arwah Yayi aku akan membeli beberapa peti air botol berkarbonat. Botolnya barangkali sebesar botol kicap saiz kecil. Atasnya ditutup dengan ceper. Botol-botol itu disusun di dalam peti kayu. Kalau tak silap aku, peti itu boleh memuatkan 24 botol.

Masa berlalu. Lama aku tak melihat botol seperti itu. Sekali-sekala, sewaktu hari raya, aku akan berjumpa dengan botol tersebut di kampung-kampung di Pontian dan Muar.

Tetapi, tempoh hari, sewaktu bercuti di Setiu, aku kembali melihat botol itu. Mungkin rupa parasnya tidak sama 100% dengan yang ada dalam nostalgia aku, tapi itu sudah cukup untuk membuatkan aku tertarik.



Aku difahamkan, di Kelantan dan utara Terengganu, botol seperti ini masih popular.

Tapi, paling menarik, tagline pada botol tersebut. "Bersih Mengikut Syariat". Memang terbaik dari kebun! Hahahaha


Monday, December 19, 2011

Pulau Pinang 8: Episod Akhir

Biasanya kalau drama bersiri ada 13 episod. Akan tetapi, kerana ini bukan drama bersiri, ia hanya 8 siri episod sahaja. Juga, inikan blog aku, suka hati akulah nak buat berapa episod pun. Hahahahahahaha

Hari terakhir di bumi Francis Light si penipu. Hajat ingin menaiki feri, akan tetapi memandang agak lewat bertolak, hajat itu dibatalkan sahaja.

Seperti perjalanan pergi, melalui Kulim - Baling, pemandangan sangat menarik.


Jalan terus tanpa henti. Berhenti di Titiwangsa. Berehat. Qada' Hajat. Menikmati pemandangan puncak yang menakjubkan. Menikmati suasana yang nyaman pada jam 1.00 petang.




Usai makan, jalan terus lagi ke Bukit Bunga. Isi petrol juga membeli-belah. Melihat suasana di Bukit Bunga, ada iras Air Hitam di Johor.





Demam Angry Bird sekarang ni. Selipar Angry Bird pun ada. Tak lama lagi ada agaknya spender Angry Bird. Argh! Biarkan sahaja burung itu marahkan babi. Perjalanan kami masih jauh lagi.

Destinasi seterusnya di Masjid Pekan Jabi. Jamak akhir + qasar. Zohor + Asar.




Tiba di Setiu lebih kurang jam 6. Perjalanan aku diteruskan ke Kuala Terengganu dan seterusnya ke Dungun. Aku sampai Dungun kurrang lebih jam 10 malam. Aku tersepa.

Tamat memori Pulau Pinang 2011. Aku tak tahu bila lagi aku akan ke sana. Harapnya aku akan kembali lagi ke sana. Tak puas lagi pusing Penang!

Wednesday, December 14, 2011

Pulau Pinang 1: Perjalanan Pergi

Beberapa post selepas ini, akan berkisar mengenai tempat menarik (pada aku) di Pulau Pinang dan sepanjang perjalanan ke sana dan dari sana.

Sebetulnya, aku tidak pernah bersiar-siar, berfoya-foya atau bersuka-ria di Pulau Pinang. Malah, aku juga tidak pernah ke Pulau Pinang atas urusan kerja. Tetapi, adalah dua atau tiga kali aku sekadar melalui negeri Pulau Pinang apabila mahu ke Perlis dan Kedah dari selatan atau timur.

Aku ke sana atas ajakan kakak ipar aku yang sulung. Mulanya terasa malas juga, kerana baru sahaja pulang dari Johor. Tetapi memandangkan aku tidak pernah ke Pulau Pinang dan atas hasutan dari Pn Nurul, aku terima sahaja ajakan itu. Hahahahahaha. Turut bersama dalam rombongan sambil belajar itu adalah abang ipar aku sekeluarga, mak mertua aku dan kakar ipar aku yang masih belum berpunya itu.

Secara rasminya perjalanan kami bermula di Setiu. Bertolak dari Setiu sekitar jam 10.30 pagi. Aku dan Pn. Nurul sekadar menumpang kereta Exora kepunyaan abang ipar aku. Adat menumpang, kena membawa. Hahahahaha. Aku memandu Exora itu kerana abang ipar aku dalam keadaan mengantuk kerana makan ubat selsema.

Dari Setiu perjalanan lancar menuju ke Machang. Dari Machang, kami menuju ke Jeli melalui jajahan Tanah Merah. Singgah sebentar di Masjid Batang Merbau untuk melepaskan hajat dan meregangkan urat yang berbelit.

Kemudian, perjalanan di teruskan melalui jalan Grik yang berliku itu. Ternyata Exora masih gagah untuk mendaki bukit dan menuruni cerunan di jalan Grik, walaupun agak perlahan. Ialah, dengan muatan penuh, dapat melalui jalan itu pun sudah boleh dianggap cemerlang. Jujur, aku amat suka suasana di jalan Grik itu. Tenang dan menyamankan.




Kami cuba berhenti di perhentian Titiwangsa dan Tasik Banding, tetapi penuh. Barangkali kerana musim cuti sekolah sekarang ini. Lalu, kami memutuskan untuk berhenti di Sungai Lebey.



Oleh kerana kami membawa bekal, tempat ini agak sesuai kerana disediakan wakaf yang agak banyak. Juga, terdapat tandas, surau dan juga gerai makan di sini.

Memandangkan kami tiba sekitar jam 1.00 petang di Sungai Lebey dan perjalanan kami adalah pada hari Jumaat, jadi, menjadi kewajipan (bagi yang lelaki) untuk bersolat Jumaat. Walaupun kami bermusafir, akan tetapi memandangkan laluan yang kami lalui terdapat masjid, jadi kami wajib untuk bersolat Jumaat. Ketua rombongan memutuskan untuk berjumaat di Kampung Bandariang, kira-kira 5 kilometer dari hentian Sungai Lebey.



Suasana di masjid itu mengingatkan aku suasana seperti masjid Kampung Parit Kasan, Bukit Gambir, Muar.

Usai solat dan makan, kami meneruskan perjalanan. Melalui Baling, kami terus ke Kulim. Suasana di Kulim agak menarik kerana kami dapat merasai seolah-olah jalan raya merentasi sawah padi. Suasana yang tidak kedapatan di Johor atau Terengganu.



Dari Kulim, kami melalui lebuhraya hingga ke Jambatan Pulau Pinang. Dua kali dikenakan tol sebanyak RM1.60, masing-masing. Juga, dikenakan tol sebanyak dua kali juga akibat sesat sebanyak 5 kupang, masing-masing. Jumlah tol sebelum tiba di Jambatan Pulau Pinang adalah sebanyak RM4.20.

Jambatan Pulau Pinang mengenakan bayaran RM7.00 sehala, dari seberang ke pulau. Dari pulau ke seberang tiada bayaran dikenakan. Tapi, kalau kau ada kad Touch N Go yang dibeli di tol di situ, kau mendapat potongan harga sebanyak 20%. Jadi, kau hanya perlu membayar RM5.60.

Teruja aku melalui jambatan yang terpanjang di Malaysia itu.


Jika tidak sesat, kami tiba jam 5.00 petang. Kerana sesat, kami tiba jam 6.00 petang di rumah abang ipar aku yang lain di kuartes kakitangan awam berhampiran USM.

Letih, malam itu tidak kemana-mana. Hanya berehat-rehat dan beramah mesra. :-)

Tuesday, August 30, 2011

Kerepek dan Hari Raya

Pada aku, amat sinonim antara kerepek dan hari raya. Tak tahu di tempat lain, kalau di Johor, amat biasa tetamu dihidangkan kerepek berbanding biskut raya. Rasanya, kerepek raya menjadi pilihan kerana ia rangup dan enak dimakan secara ringan dan santai.




Sementelaah aku berasal dari Johor dan menetap di Terengganu, aku mengambil kesempatan untuk menjual kerepek Johor di Terengganu. Pada mula perniagaan, aku hanya membeli 10kg kerepek sahaja. Dari 10kg itulah perniaggan kerepek aku semakin maju. Terbaru, raya tahun 2011 ini aku bersama Pn. Nurul berjaya menjual lebih kurang 500kg kerepek.




Terima kasih kepada semua agen dan pelanggan kerepek kami di sekitar Dungun, Kuala Terengganu, Setiu dan Kuala Berang. Harap dapat membeli dengan kami pada masa akan datang. Huhuhuhuhuhu


Puasa tahun ini agak meletihkan kerana perlu membungkus 500kg kerepek dan terpaksa dua kali pulang ke Johor menggunakan mpv keluaran Malaysia. Rasanya, kos menjadi tidak efektif apabila kami berbuat demikian. Kami menjangkakan untuk menyewa lori pada musim raya akan datang.




Pada hari raya haji nanti, kami juga bercadang untuk menjual kerepek. Jadi, sesiapa di sekitar Dungun, Marang dan Kuala Terengganu yang berminat untuk menjadi ejen, jangan segan untuk hubungi aku, Nizam di talian 019-7223166. Nanti aku jelaskan tentang komisyen dan syarat-syarat nak jadi ejen. Yang penting, TAK PERLU MODAL beb! Huhuhuhu




Akhir kata, kepada semua pembaca blog ini diucapkan Selamat Eidulfitri. Semoga raya kali ini diberkati. :-)

Friday, April 23, 2010

Kampung Mangkuk

Owh, agak melucukan tajuk post kali ini. Kampung Mangkuk. Jangan kau perlekehkan nama tersebut. Ia bukan setaraf mangkuk melamin cendol. Tapi, barangkali ia setaraf dengan magkuk porcelin China yang dijumpai di dalam kapal tenggelam di Laut China Selatan.

Kalau kau ke Terengganu, aku cadangkan kau ke sini. Barangkali kau sudah bosan dengan Pasar Payang, Taman Tamadun Islam, Sekayu, Kenyir atau Pulau Redang. Jadi, kau boleh ke sini untuk menikmati suasana kampung tepian pantai yang sangat indah.

Aku mulanya tak percaya pemandangan yang aku lihat berada di Terengganu. Suasana sangat damai dan menyenangkan di kampung Mangkuk ini. Kalau kau mahu ketenangan dunia, kau harus ke sini.

Oh ya, lupa aku hendak beritahu kau bahawa Kampung Mangkuk ini terletak di daerah Setiu, Terengganu. Lokasinya sangat hampir pantai Penarik. Bagi mengetahui lebih lanjut, ada baiknya kau meng'google'kan diri kau, sebab aku malas untuk mencari maklumat Kampung Mangkuk untuk kau. Hahahahahahaha (dengan nada jahat tetapi bersahaja)

Juga, kalau kau mempunyai kamera DSLR yang hebat, kau boleh menguji kemahiran kau di Kampung Mangkuk.

Mari nikmati pemandangan yang indah di Kampung Mangkuk...