Sebetulnya, aku sudah lama tidak pergi ke Pantai Batu Buruk. Terasa agak nostalgia suasana di situ. Tempat aku dan Pn. Nurul sering bertemu semasa beliau masih bertaraf Cik.
Suasana di Pantai Buruk pada petang Jumaat masih seperti dulu. Ramai orang. Terkadang-kadang ada mat rempit yang kurang ajar. Juga, kedapatan kanak-kanak bermain layang-layang di pesisiran pantai yang bersih dan memutih.
Cuma, yang baru pada aku ada orang menjual jagung bakar di kaki jalan.
Lalu, aku membeli sebatang jagung bakar yang berharga RM2.50. Sedap juga jagung bakar ni. Barangkali kerana aku sudah lama tidak memakannya.
Setelah licin semua biji jagung aku telan dan hadam, terfikir aku untuk menjalankan perniagaan jagung bakar. Bagi pengetahuan kaun semua, ada satu tempat di Merchang, Terengganu menjual jagung manis yang berkualiti pada harga yang berpatutan. Jagung Merchang itu dijual pada harga 7 biji bagi RM10. Jika semua jagung itu aku berjaya bakar dan jual, aku memperolehi keuntungan kasar sebanyak RM17.50. Agak lumayan!
Selain jagung, aku memerlukan juga arang, majerin, garam dan gula sebagai barang luak untuk membuat jagung bakar. Aku percaya, barang-barang tersebut tidaklah menelan kos yang tinggi.
Selain itu, aku perlukan juga modal pendahuluan untuk membeli meja lipat yang berharga lebih kurang RM50 dan bekas pembakar sate yang berharga RM20. Aku tak perlukan kipas kerana meniaga di Pantai Batu Buruk yang mempunyai angin yang cukup untuk menghidupkan bara.
Namun, idea itu hanya tinggal idea sahaja kerana aku sudah mempunyai pekerjaan tetap sekarang. Kalau kau menganggur, barangkali kau boleh mencuba meniaga jagung bakar di tempat kau sendiri.
No comments:
Post a Comment